fbpx

PRN Johor : Sokongan terhadap BN semakin menebal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noh Omar melawat premis perniagaan Badar Cendol di Kampung Pasir, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Perjalanan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang hampir sampai ke penghujung ini menyaksikan sokongan yang diberikan kepada Barisan Nasional (BN) semakin menebal dan mampu diterjemahkan kepada kemenangan buat BN untuk membentuk kerajaan baharu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar berkata, perkara itu dapat dilihat hasil daripada tinjauannya di kawasan Parlimen Pulai apabila ramai pengundi dilihat sangat jelas kembali memberi sokongan kepada BN.

Beliau berkata, hal ini kerana rakyat sudah melihat dengan jelas parti yang mampu mentadbir baik di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri setelah berlaku pertukaran jawatan Perdana Menteri dan Menteri Besar pada penggal ini.

“Pakatan Harapan (PH) yang dahulunya kuat membantai kerajaan BN sehingga kalah berubah ketika memerintah apabila bercakap tak serupa bikin setelah janji manifesto yang ditabur tidak ditunaikan.

“Tukar pula kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, ramai Ahli Parlimen tidak berpuas hati apabila tidak dapat bersidang ketika negara dilanda pandemik covid-19 kerana keadaan darurat.

“Setelah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi Perdana Menteri, mereka mula nampak kerajaan yang boleh memerintah dengan baik dan menjaga kebajikan rakyat dan menyediakan jalan penyelesaian kepada isu yang dekat dengan rakyat seperti isu perumahan, pengangguran dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di Kampung Pasir, di sini semalam.

Terdahulu, Noh yang juga bapa angkat bagi Parlimen Pulai pada PRN Johor sempat mengunjungi premis perniagaan milik Saadun Sanusi, pengusaha Badar Cendol bagi menyerahkan borang bantuan pinjaman Tabung Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) Nasional.

Dalam pada itu, Noh berkata, nadi yang sama turut dikongsi oleh penduduk di sini terhadap calon Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad yang dilihat sebagai figura yang berjiwa rakyat dan mengutamakan nasib usahawan yang terjejas teruk akibat pandemik ini.

Tambahnya, nasib usahawan terus dirundum malang, Hasni mengambil inisiatif dengan menyalurkan sebanyak RM6 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi membantu usahawan mereka yang terkesan pandemik itu.

“Bukan itu sahaja, kerajaan Negeri turut memberi suntikan RM2 juta bagi membantu koperasi di negeri ini selain menanggung interest pinjaman yang dibuat oleh usahawan meminjam dengan Bank Kerjasama Rakyat Berhad menerusi kerjasama dengan institusi tersebut.

“Segala perancangan ini kena diteruskan, kita bimbang bila bertukar Menteri Besar dan kerajaan Negeri seperti yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), segala perancangan disusun ini ditangguhkan oleh kerajaan baharu.

“Untuk pastikan ada kesinambungan apa yang dilaksanakan Datuk Seri Hasni, maka kita kena pastikan beliau terus menjadi Menteri Besar supaya apa yang dirancangkan akan terus dirasai rakyat, kestabilan politik penting untuk kemakmuran rakyat,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI