fbpx

PRN Johor : Calon BN DUN Skudai gesa pilih wakil rakyat anak tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Soon Hai (kiri) membantu seorang warga emas ketika melakukan kempen di sekitar Skudai, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, Lim Soon Hai menjadikan kedai telefon bimbit miliknya di Taman Ungku Tun Aminah, dekat sini sebagai bilik gerakan tambahan bagi memudahkan penduduk setempat untuk bertemunya.

Inisiatif yang diambil anak jati Skudai itu selain mempunyai bilik gerakan di Taman Universiti, dekat sini bagi membantu parti menamatkan dominasi parti DAP daripada Pakatan Harapan (PH) yang sudah menyandang kerusi berkenaan tiga penggal yang lalu.

Menurut Soon Hai, sebagai calon yang sudah lama menjalankan aktiviti kemasyarakatan di kawasan DUN tersebut, beliau tidak asing lagi dalam kalangan penduduk setempat sebagai calon yang tepat untuk Skudai.

“Saya tidak risau siapa calon yang tandingi saya di DUN Skudai, mereka terbuka untuk bertanding di sini. Saya merasakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini amat penting buat rakyat membuat keputusan memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan mewakili mereka bagi penggal akan datang.

“Pengundi perlu tahu siapa yang selalu ada untuk mereka dan sentiasa akan mendampingi mereka, bukannya calon yang hanya datang ketika masa tertentu dan selepas itu tidak lagi nampak batang hidung.

“Macam saya, saya ada kedai di sini dan merupakan orang sini, saya tak akan ke mana-mana. Lagipun, ini bukan pertama kali saya tunjuk muka di sini, jadi pilihlah calon yang benar-benar mampu berjasa kepada mereka,” katanya kepada pemberita semalam.

Keinginan Soon Hai bergelar ADUN di kawasan tersebut ialah untuk membawa perubahan yang dapat memberi manfaat kepada penduduk sekitar selain menjadi jambatan yang menghubungkan penduduk setempat dengan jabatan kerajaan baik dalam menyalurkan aduan mahupun bantuan.

Berbekalkan pengalaman selama tiga penggal menjadi Ahli Majlis Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), beliau percaya akan memastikan kebajikan rakyat di Skudai tidak terabai malah tidak ketinggalan menerima limpahan kerancakan ekonomi Johor selepas ini.

“Matlamat saya menjadi calon ialah meneruskan usaha saya sebelum ini lagi dengan membantu seramai mungkin masyarakat setempat khususnya golongan B40, mereka selalu mengadu masalah ke kedai telefon saya dan akan cuba membantu mereka semampu mungkin, itu adalah kepuasan buat saya.

“Sekiranya saya menang nanti, saya bertekad untuk membawa pembangunan di sini membabitkan penambahbaikan dari segi infrastruktur dan prasarana secara berperingkat selain mewujudkan lorong simpang U berhampiran flyover Perling bagi mengurangkan kesesakan di waktu puncak,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI