fbpx

Penduduk lega sekolah terbengkalai 7 tahun bakal dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Alamin ketika mengadakan tinjauan di SMK Suria Jaya, Parit Yaani, Batu Pahat yang bakal beroperasi setelah terbengkalai sejak tujuh tahun.

BATU PAHAT – Penduduk kampung di sekitar Parit Yaani, di sini, pastinya lega dengan khabar pembukaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Jaya selepas projek itu terbengkalai sejak tujuh tahun lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan 2, Datuk Mohamad Alamin berkata, operasi sekolah berkenaan sebelum ini tertangguh berikutan masalah yang dialami di peringkat kontraktor yang dilantik.

“Punca utama sekolah ini terbengkalai sejak 2015 adalah disebabkan kontraktor sedia ada ketika itu mempunyai masalah daripada prestasi kerja yang tidak memuaskan.

“Terlalu banyak kelewatan yang dilakukan oleh kontraktor berkenaan dan atas sebab itu pihak kementerian mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak kepada kontraktor berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas program lawatan kerja di SMK Suria Jaya Parit Yaani, di sini, hari ini.

Menurut Mohamad, penangguhan projek itu turut memberikan kesan kepada penduduk sekitar berikutan sekolah sedia ada terletak kira-kira 8kilometer dari lokasi SMK Suria Jaya.

“Sekolah yang terdekat pun berada lebih kurang 8 kilometer jauh daripada lokasi sekolah ini. Justeru, pembukaan SMK Suria Jaya pastinya memudahkan pelajar yang tinggal di kawasan Parit Yaani dan sekitarnya apabila beroperasi nanti.

“Seramai 1,500 pelajar dijangka memanfaatkan sekolah ini apabila ia dibuka dan untuk peringkat awal, seramai 500 pelajar terdiri daripada tingkatan satu dan dua akan menggunakan kemudahan fasiliti berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, sekolah itu sudah 97 peratus siap dan bakinya perlu disiapkan segera kerana pembukaan tender telah dilakukan pada tahun ini.

Justeru katanya, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengambil langkah drastik bagi mempercepatkan pembukaan sekolah berkenaan.

Katanya, pihak kementerian mengingatkan kepada mana-mana kontraktor yang telah diberi kontrak oleh agensi-agensi pelaksana daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melaksanakan projek berkenaan dengan penuh tanggungjawab.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI