LONDON – Penaja utama pasukan Formula Satu (F1) Haas, Uralkali menuntut duit penajaan keseluruhan daripada pasukan milik Amerika Syarikat (AS) itu selain akan mengheret tindakan tidak profesional itu ke mahkamah antarabangsa.
Haas dikatakan membuat keputusan terburu-buru apabila menamatkan kerjasama serta-merta dengan Uralkali berikutan tindakan pencerobohan Rusia terhadap Ukraine.
Malah, Haas juga mengeluarkan serta-merta jenama Uralkali pada jentera VF-22 mereka ketika sesi ujian pramusim terakhir di Barcelona.
Selain itu, pemandu Rusia, Nikita Mazepin turut menerima tempias apabila digugurkan untuk bersama Haas dan Kevin Magnussen dipanggil menggantikan tempat tersebut menjelang aksi pembukaan Grand Prix (GP) Bahrain pada 20 Mac ini.
“Keputusan yang dibuat Haas adalah satu tindakan tidak munasabah dan kami percaya bahawa sukan sentiasa bebas daripada politik dan tekanan faktor luaran,” kata Uralkali dalam kenyataan semalam.
Dalam kenyataan tersebut, Uralkali turut berhasrat mengheret keputusan tersebut ke mahkamah bagi menuntut pengembalian dana yang telah disumbangkan sebagai penaja utama bagi musim 2022.
“Uralkali berhasrat untuk melindungi kepentingan selaras dengan prosedur undang-undang dan berhak untuk memulakan prosiding kehakiman, menuntut ganti rugi dan bayaran balik jumlah besar untuk musim 2022.
“Sebahagian besar pembiayaan penajaan untuk musim 2022 telah pun dipindahkan kepada Haas. Ketika ini, Haas gagal melaksanakannya dan menamatkan kontrak.
“Bayaran balik daripada Haas akan digunakan untuk menubuhkan yayasan sokongan atlet We Compete As One,” katanya. – AGENSI