PETALING JAYA – Tindakan seorang pelanggan menipu penghantar makanan mendapat kecaman orang ramai.
Kejadian tersebut yang dikongsi di Facebook Kepala Berputar turut menjadi tular.
Menerusi hantaran itu difahamkan penghantar makanan tersebut ditipu oleh seorang pelanggan sehingga menyebabkan dia kerugian lebih RM100 ringgit.
“Kasihan abang ini, cari pelanggan bernama Nadia, dia pesan makanan sehingga RM100 lebih. Dia dah ambil makanan lepas itu lari tak bayar, dari pukul 3 petang sampai sekarang tidak respon.
“Abang ini terpaksa cari kilang ke kilang budak yang tipu dia. Ingat, tak semua ‘rider’ jahat jadi jangan pandang rendah,” tulis kapsyen video itu.
Tinjauan Kosmo! di ruang komen mendapati rata-rata pengguna mengecam tindakan pelanggan tersebut dan berharap agar pelaku itu dapat ditangkap.
“Sepatutnya syarikat e-hailing seperti mewajibkan pembayaran ‘online’ saja. Tak perlu bayar tunai. Kes tipu macam ini banyak berlaku. Kesian ‘rider’ hujan panas kena harungi. Bila dah sampai, pelanggan tak jawap panggilan telefon,” kata Muhammad Lamka.
“Sedihnya. ‘Rider’ lebih baik hati-hati ambil pesanan yang perlu dibayar secara tunai. Terutama sekali yang mahal-mahal, risiko tinggi. Semoga dipermudahkan segala urusan awak menjalankan tugas,” kata Tomato Cherry.
“Khianat orang, lepas itu makan benda tak bayar, jadi darah daging. Tak selamatlah hidup anaiya orang begitu,” kata Alif. – KOSMO! ONLINE