SEPERTI irama dan lagu yang tidak boleh dipisahkan, makhluk bernama manusia di seluruh pelosok dunia juga tidak mampu menidakkan kecenderungan sukma terhadap muzik. Bezanya, hanyalah acuan budaya, latar belakang mahupun pendedahan.
Berada di Kutub Utara sekali pun, jika meminati dondang sayang maka muzik begitulah yang menjadi akar irama batin. Kalau duduk di Madinah tetapi masih terasa nak dengar lagu Eminem, itu bukan satu jenayah. Peminat muzik ‘luar kotak’ juga, tidak perlu menyindir golongan yang masih kecanduan muzik zaman kaset Slam atau Bumiputera Rockers.
Setiap apa yang bergerak atau mengalir dalam sistem suria ini ada jalur dan landasan masing-masing. Kita semua tetaplah pemuja sesuatu yang indah dan asyik. Muzik juga begitu. Pilihan kita juga tidak satu.
Sama juga dengan kecenderungan penggemar muzik bercakap hal-hal sipi Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) yang sudah tamat Ahad lalu. Soal fesyen ‘taman bunga bergerak’ atau ‘piala Grammy’ di atas pentas AJL36 hanyalah ‘serbuk sedap rasa’ yang daripada tak ada baik ada, tidak perlu terlalu kritis untuk bab itu.
AJL36 juga sudah menemukan juara tetapi skeptikal dan perlecehan entah tercetus daripada jemaah mana masih belum berhenti dalam media sosial.
Ada yang mengungkit, dek kisah lampau kenapa nama penyanyi bersama lagu juara tidak disebut dalam salah satu perenggan laporan akhbar walhal dalam perenggan berikutnya tiada pun penafian bahkan terang-terangan ditulis dengan pujian disusuli dengan gambar. Adakah itu satu kesalahan yang perlu dilaungkan kepada dunia.
Ada juga yang balas ‘dendam’, bercakap soal kemenangan lagu Pelukan Angkasa ciptaan Raja Nazrin Shah, lirik oleh Fazleena Hishamuddin nyanyian Sekumpulan Orang Gila (SOG) serta Shila Amzah sebagai peluru untuk tembak muka golongan wartawan hiburan yang selama ini disifatkan hanya taksub terhadap muzik pop.
Rasanya, semua orang menyukai eksotika dan estetika Pelukan Angkasa. Sedihnya, keindahan kemenangan lagu berkenaan tercalar dek obsesi dan susut nilai adab yang bertamu usai terjulang unggul Ahad lalu. Barangkali ini soal perjuangan suci sang pujangga atau kesumat rasa yang tidak pernah reda.
Berlapang dada sahaja dengan publisiti percuma yang tidak kalian bayar walaupun dengan sebaris ungkapan terima kasih. Pelik, adakalanya mereka menolak fungsi dan kepentingan media arus perdana, tetapi terselit sebal dengan hanya satu ketidakpedulian.
Penyokongnya berkicau garang bersulamkan kesakitan rasa tidak cukup didendangkan serata alam. Sebegitu besar harapan perjuangan mereka, sayangnya tanpa adab, kehormatan boleh hilang sekelip mata.
Egoistik ada di setiap ceruk jiwa, kebergantungan atau penolakan juga tidak bertalikan sumpah tapi cukup sahaja dengan adab dan bicara. Menjadi juara yang tidak didendang rupa-rupanya lebih sakit daripada pulang tanpa trofi kemenangan.
Dunia ini berputar, sekejap sahaja paku buah keras yang dilontarkan berbalik ke muka sendiri.