SHAH ALAM – Hotel Mardhiyyah & Suites menampilkan bufet Ramadan dengan tema Warisan Bonda berharga RM145 bagi seorang dewasa bermula 4 April sehingga 1 Mei nanti.
Bagi warga emas dan kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun, bufet terbabit ditawarkan masing-masing pada harga RM110 dan RM90.
Timbalan Pengurus Hotel merangkap Cef Eksekutifnya, Mohd. Shahril Abu Rahim berkata, bufet Ramadan Warisan Bonda menawarkan pelbagai pilihan masakan berasaskan menu air tangan bonda.
Antaranya masakan tempatan seperti nasi kandar, nasi minyak, ayam rempah kuzi, gulai lemak ikan kam heong, wok goreng baby kailan dengan bawang putih dan bermacam lagi.
“Bagi menambah aneka makanan warisan, cef terbaik kami menyediakan variasi sambal seperti sambal belacan, cencaluk, budu, kicap cili padi, air asam, sos percik dan sambal kicap pedas untuk dipadankan dengan aneka ulam-ulaman.
“Menu tambahan, kerabu ayam, kerabu kacang botol, jantung pisang, kacang panjang rojak buah, popiah basah, jeruk cermai, kelubi, betik, salak dan anggur menjadi pelengkap hidangan berkonsepkan warisan,” katanya ketika ditemui
pada bufet Pra-Ramadan baru-baru ini.
Mohd. Shahril menerangkan, pelanggan turut dihidangkan dengan masakan pilihan antarabangsa termasuk aneka salad dan pasta serta smokey hickory roasted whole lamb, masakan selera Timur Tengah, Penang Best, Cina dan Jepun.
“Tetamu turut dihidangkan dengan aneka pemanis termasuk kuih tradisi Melayu seperti sago gula Melaka, agar-agar dan puding, ais kacang, waffle, bubur gandum pandan gula anau, aneka kek dan buah-buahan.
“Bufet Ramadan ini juga menyediakan pakej hidangan untuk bersahur seawal pukul 4 pagi hingga 5.40 pagi pada harga RM65 untuk dewasa dan kanak-kanak (RM45),” ujarnya.