KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia telah memperlihatkan pelbagai petanda yang mencerminkan potensi memberangsangkan bagi mencapai pemulihan bagi tahun 2022, menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Katanya, ia termasuk pemulihan kadar pengangguran kepada paras 4.2 peratus yang dicapai pada Januari lalu, berbanding 5.3 peratus pada dua tahun lalu.
“Selain itu, terdapat minat berterusan oleh pelabur asing yang secara bersih telah melabur RM3.5 bilion dalam pasaran bon tempatan pada Januari, serta RM3.6 bilion dalam pasaran ekuiti sehingga kini.
“Kemasukan Malaysia sebagai ahli Regional Comprehensive Economic Partnership, atau RCEP bermula 18 Mac ini pula dijangka meningkatkan hasil eksport sebanyak RM44 bilion setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Inisiatif Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Demi Rakyat dan Negara (GRDN) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.
Mengulas mengenai peranan GLC, Tengku Zafrul menjelaskan ekosistem GLC merupakan antara elemen terpenting bagi merealisasikan visi Malaysia.
Tambahnya, GRDN adalah antara contoh bagaimana syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan GLC mengoptimumkan sumber terkumpul bagi memanfaatkan lebih ramai benefisiari, terutamanya dalam kalangan B40 dan golongan tumpuan tertentu.
“Selain mengubah hidup dan cara kita beroperasi secara total, samada di peringkat individu mahupun perniagaan Covid-19 telah menyerlahkan pelbagai kelemahan yang telah lama bertapak di dalam struktur sosio-ekonomi kita.
“Sehubungan itu, dalam usaha untuk terus menambah baik ekosistem GLC ini, kita juga harus mengambil kesempatan ini untuk memperkasakan GLIC dan GLC bagi membantu Kerajaan menangani isu-isu struktur tersebut,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE.