fbpx

Mahkamah benar Isa dapat sementara pasport, ke United Kingdom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Isa ketika hadir di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi membolehkannya ke United Kingdom.

Permohonan pasport itu berikutan Isa ,72, bagi menghadiri majlis konvokesyen anak tiri perempuannya di sebuah universiti di negara tersebut pada akhir bulan ini.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said berserta dua lagi panel iaitu  Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Isa selaku pemohon untuk mendapatkan pasportnya dikembalikan sementara.

Pada prosiding hari ini, mahkamah memerintahkan pasport dikembalikan kepada pemohon (Isa) pada 14 Mac ini dan pasport itu perlu dikembalikan semula kepada mahkamah pada 16 April ini.

Dalam prosiding hari ini pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah dan mengesahkan permohonan tersebut. Isa diwakili peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid.

Semasa prosiding Wan Azmir dalam hujahannya berkata anak guamnya perlu berangkat ke United Kingdom pada 26 Mac ini untuk menghadiri majlis konvokesyen anak tirinya dan akan pulang ke Malaysia pada 9 April ini.

“Saya mohon pasport diserahkan kepada pemohon secepat mungkin kerana pasport tersebut perlu diperbaharui. Anak guam akan pulang ke Malaysia pada 9 April dan saya mohon pasport dikembalikan selewat-lewatnya 16 April,” katanya dan menambah bahawa pemohon telah menjaga anak tirinya itu sejak kecil.

Isa memfailkan permohonan untuk mendapatkan sementara pasportnya pada 24 Februari lalu.

Pada 3 Februari tahun lepas, Isa disabitkan atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapinya menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun Mohd. Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara 6 tahun sahaja setelah Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Hakim Mohd. Nazlan membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap kesemua pertuduhan ke atas Mohd. Isa.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Februari 2021. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI