SABAK BERNAM – Lima sahabat yang merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak sempat bekerja di negara ini apabila dicekup pihak berkuasa di Parit Baru, Sungai Air Tawar di sini, semalam.
Kesemua PATI termasuk empat wanita berusia 33 hingga 55 tahun yang dipercayai berasal dari Medan, Indonesia ditahan pukul 8 pagi sebaik tiba di negara ini dengan menaiki bot.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, siasatan mendapati mereka membayar kira-kira RM1,500 untuk masuk ke negara ini.
“Tiga daripada mereka mendakwa mahu bekerja sebagai pembantu rumah dan kedai makan.
“Siasatan mendapati mereka datang dari kampung yang sama di sekitar Medan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, hasil ujian saringan Covid-19 yang dijalankan ke atas mereka didapati negatif.
Jelas Rizal, kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Sungai Air Tawar untuk tindakan lanjut.
“Kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – KOSMO! ONLINE