ISLAMABAD – Seorang lelaki Pakistan ditahan kerana disyaki menembak mati bayi perempuannya yang berusia tujuh hari semata-mata kerana mahukan bayi lelaki sebagai anak sulung, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Bayi bernama Jannat yang bermaksud ‘syurga’ dalam bahasa Urdu itu ditembak lima kali pada Isnin lalu di rumahnya di bandar Mianwali, tengah Pakistan, kata polis.
Suspek yang dikenali sebagai Shahzaib Khan, didakwa memasuki rumah lalu mengarahkan isterinya menyerahkan Jannat sebelum menembak mati bayi itu, lapor akhbar Dawn.
Shahzaib yang telah berkahwin selama dua tahun itu melarikan diri dari tempat kejadian sebelum ditahan semalam di daerah berhampiran, demikian menurut polis.
Menerusi adat suku kaum Pakistan, bayi perempuan boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap kaum lelaki.
Bapa saudara kepada bayi perempuan itu, Hidayatullah Khan membuat aduan rasmi terhadap suspek atas pembunuhan itu.
“Seorang bayi perempuan lahir… dia (Shahzaib) berang,’’ kata Hidayatullah.
Menurutnya, Shahzaib tidak pulang ke rumah keluarganya selepas mendapati isterinya melahirkan bayi perempuan dan enggan menerimanya.
Ketika kejadian, dia cuba mengambil bayi itu tetapi suspek telah mengacukan pistol ke arahnya dan saudara-mara lain lalu mengugut akan menembak mereka jika bergerak lebih dekat.
Kes itu telah mencetuskan kemarahan di Pakistan dengan orang ramai menganggap pembunuhan bayi yang baru lahir itu sebagai kejam. – Agensi