PETALING JAYA – Penyanyi, Ali XPDC, 53, yang dirawat di Hospital Ampang sejak Jumaat lalu terpaksa ditidurkan pada petang semalam selepas mengalami kesukaran bernafas.
Isterinya, Sharifah Syarzana dalam satu kiriman suara memohon semua peminat dan rakan-rakan melakukan solat hajat dan bacaan Yassin untuk kesejahteraan .
“Keadaannya 50 /50 sekarang. Minta adakan bacaan Yassin. Saya seorang menemaninya di hospital,” katanya.
Ali sebelum ini yang mempunyai masalah jantung dan paru-paru disahkan tidak dijangkiti Covid-19. Keadaan terkininya setakat pukul 11.30 pagi hari ini adalah dia masih dalam keadaan ditidurkan.
Sementara itu, Facebook Sahabat XPDC turut memuat naik perkembangan Ali kepada peminat mereka.
“Perkembangan terkini Ali XPDC setakat jam 7 malam hari ini (semalam). Ahli keluarga Ali minta semua doakan Ali supaya cepat sembuh.
“Keadaan Ali kalau ikutkan semakin sihat dan mula diajar buat aktiviti ringan dan dah boleh bercakap walaupun keadaan separuh badan belah kanan masih lemah.
“Tetapi petang tadi Ali mengalami sesak nafas dan hospital telah ‘tidurkan’ sementara buat masa ini. Walaupun pernafasan Ali sudah kembali normal tapi dia masih lagi di ditidurkan dan dipantau.
“Apapun beliau masih lagi tidak boleh menerima pelawat. Ahli keluarga minta semua peminat dan sahabat untuk doakan dan solat hajat untuk kesihatan Mohd. Ali Ismail dikembalikan dan sihat seperti dulu,” kata wakil Sahabat XPDC.
Terdahulu, Ali dikejarkan ke Hospital Ampang pada Jumaat lalu apabila tiba-tiba lemah dan tidak bermaya ketika mahu makan selepas selesai sesi latihan di studio milik pemain bass XPDC, Eddie di Pandan Indah.
Difahamkan Ali menjalani latihan persediaan Konsert Jualan Hitam 2022 yang akan berlangsung di Warisan Hall Studio, Banting, Selangor pada 12 Mac ini.
Ali mula mengalami masalah kesukaran bernafas selepas pernah melecur 30 peratus di tangan dan muka.
Dalam kejadian pada 26 Mac 2020 itu, Ali disambar api ketika membakar menggunakan petrol di rumahnya.
Pada awal tahun ini, Ali sekali lagi dimasukkan ke Hospital Shah Alam kerana masalah jantung dan kesukaran bernafas. – KOSMO! ONLINE