ORLANDO, FLORIDA – Sebuah limusin lama yang dibaiki semula diiktiraf sebagai kereta terpanjang di dunia oleh Guinness World Records, berukuran 30.5 meter (m), lapor agensi berita United Press International kelmarin.
Limusin dinamakan sebagai American Dream itu dibina pada tahun 1986 oleh seorang peminat ubah suai kenderaan, Jay Ohrberg dan berukuran panjang 18.28 m ketika itu.
Dia kemudian menambah kepanjangan kereta itu menjadi 30.5 m sekali gus melayakkan American Dream dinamakan sebagai kereta terpanjang di dunia oleh Guinness World Records.
Kenderaan itu pernah muncul beberapa kali dalam filem Hollywood sebelum ditinggalkan dalam keadaan terbiar di sebuah gudang di New Jersey selama bertahun-tahun.
Pemilik sebuah muzium automobil dari New York, Michael Manning kemudiannya membuat keputusan untuk membaiki limusin tersebut.
“Saya mula menemui kereta ini pada acara pameran di New Jersey dan ia berada dalam keadaan teruk.
“Badannya dipenuhi dengan lukisan grafiti, tingkapnya pecah dan tayar pancit. Bagaimanapun, saya amat menyukainya dan bertekad untuk mendapatkan kereta itu bagi membaikinya,” kata Manning.
Bagaimanapun, akibat kekangan wang, rancangan Manning untuk membaiki American Dream terbantut sehingga memaksanya menjual limusin itu di laman eBay sebelum ia dibeli oleh seorang pemilik muzium kereta di Florida.
Selepas dibawa ke negeri itu, Manning tidak berputus asa dan mengambil bahagian dalam kerja-kerja mengubah suai kereta itu dengan memasang beberapa ciri baharu iaitu helipad, kolam renang, kolam air panas dan katil air yang besar.
Ia dilaporkan akan dipamerkan di Muzium Dezerland Park Car. – AGENSI