AMPANG – Saksi kejadian tanah runtuh memaklumkan kejadian berlaku sangat pantas sehingga hanya mampu melihat lori yang melakukan kerja penyelengaraan tertimbus dalam tempoh lima saat ketika kejadian tanah runtuh di Jalan Teratai, Bukit Permai di sini semalam.
Kakitangan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Angeozeel Andrew, 21, berkata ketika kejadian beliau bersama tiga rakan termasuk salah seorang mangsa, A. Mahendran, 37, melakukan kerja penyelenggaraan dengan menaiki dua buah lori ke lokasi kejadian pada sekitar pukul 4.30 petang semalam.
“Ketika mahu memulakan kerja-kerja penyelenggaraan, tiba-tiba hujan lebat dan kami masuk ke dalam lori semula.
“Saya bersama seorang rakan masuk ke sebuah lori di bahagian hadapan pada jarak 10 meter dari lori kedua yang dinaiki dua lagi rakan termasuk Mahendran.
“Ketika kami berehat di dalam lori, tiba-tiba saya mendengar dentuman kuat seperti petir sebelum saya menoleh ke belakang dan melihat lori mereka ditimpus tanah,” katanya ketika ditemui media ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.
Tambahnya, dia bersama dua lagi rakan berlari keluar dari kenderaan tersebut untuk menyelamatkan diri namun tidak kelihatan kelibat Mahendran.
“Kami kemudian memanggil penghuni berhampiran supaya mereka keluar dari rumah masing-masing untuk menyelamatkan diri,” katanya.
Katanya, beliau mengenali Mahendran sebagai rakan yang rapat sejak bekhidmat di Air Selangor dan berasa terkilan dan simpati nasib yang menimpa rakannya itu.
“Saya agak rapat dengan beliau dan bertugas sama dalam kerja penyelenggaraan termasuk di kawasan ini.
“Saya difahamkan dia sudah bekerja di sini (Air Selangor) kira-kira tiga tahun lalu dan dia seorang yang pendiam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE