fbpx

‘Jual’ anak untuk bayar bil hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang bayi lelaki diserahkan kepada sepasang suami isteri bersama buku rekod kesihatan (gambar kecil) selepas dilahirkan di HoSHAS, Temerloh pada 30 Disember lalu.

TEMERLOH – Sepasang suami isteri warga Indonesia yang menghadapi kesempitan hidup akibat pandemik Covid-19 bertindak nekad apabila ‘menjual’ bayi yang baharu dilahirkan kepada orang lain selepas tidak dapat membayar bil hospital RM4,000.

Kejadian berlaku apabila pasangan dari Lombok berusia dalam lingkungan 20-an tersebut tidak mempunyai wang mencukupi bagi mengambil bayi kerana selain tidak mempunyai kerja, mereka lebih terbeban apabila rumah sewa mereka di Karak ditenggelami banjir tahun lalu.

Ekoran itu, mereka yang buntu dengan keadaan itu meminta satu pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak sejak berkahwin sembilan tahun lalu menyelesaikan bil tersebut sebelum menghilangkan diri.

Bagaimanapun, keadaan menjadi rumit apabila bayi itu tidak dapat didaftarkan sebagai anak angkat kerana memerlukan kehadiran ibu sebenar bagi urusan dokumentasi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Mengimbau semula kejadian itu, wanita yang dikenali sebagai Hasnah, 33, berkata, dia me­ngetahui mengenai hasrat wanita Indonesia yang dikenali sebagai Fithiani, 25, yang mencari keluarga angkat bagi anak mereka pada 1 Januari lalu.

Katanya, dia dan suami pernah menyatakan untuk mengambil anak angkat di dalam kumpulan WhatsApp kawasan kediaman di sebuah taman perumahan di di sini.

“Mungkin ada rakan Fithiani yang tahu mengenai hasrat kami dan menghubungi saya untuk mengambil bayi yang dilahirkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) pada 30 Disember tahun lalu itu sebagai anak angkat.

“Mereka menyatakan tidak mempunyai wang untuk membayar bil sebanyak RM4,000 kerana terkesan dengan Covid-19 dan ditambah pula rumah mereka di Karak ditenggelami banjir. Mungkin mereka dipindahkan ke HoSHAS dari hospital di Karak,” katanya ketika ditemui.

Sepasang suami isteri membayar RM4,000 sebagai kos rawatan melahirkan bayi di HoSHAS, Temerloh.

Menurut Hasnah, gembira dengan tawaran itu kerana masih tidak mempunyai anak walaupun sudah sembilan tahun berkahwin, dia nekad membayar bil tersebut dan membawa bayi itu pulang bersama beberapa dokumen yang diberikan pihak hospital.

Bagaimanapun, tambahnya, pasangan tersebut kemudian terus menghilangkan diri dan tidak dapat lagi dihubungi, malah rumah sewanya di Karak sudah dikosongkan.

“Kami buntu untuk me­lakukan proses seterusnya kerana kehadiran ibu kan­dung amat penting bagi tujuan pendaftaran bayi sebagai anak angkat yang sah di sisi undang-undang. Ia untuk masa depan anak itu kelak,” katanya.

Ujar Hasnah, sejak bayi itu di­serahkan kepada mereka, wanita itu dan suaminya yang dikenali sebagai Bambang langsung tidak muncul-muncul.

“Kami sudah menguruskan segala keperluan untuk tujuan itu di JPN, suntikan pelalian dan usaha mengesan ibu kandung kepada bayi berkenaan, namun sehingga kini masih buntu,” ujarnya.

Sehubungan itu, Hasnah meminta Fathiani atau Bambang supaya menghubungi mereka dengan segera bagi meneruskan proses pendaftaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI