YAN – Dua keluarga di Kampung Titi Bakong di sini yang masih trauma dengan kejadian aliran puing pada Ogos tahun lalu sekali lagi berdepan detik cemas apabila rumah mereka dinaiki air dalam kejadian banjir kilat yang membawa lumpur kelmarin.
Banjir pada pukul 6 petang itu berlaku apabila kawasan tersebut dilanda hujan lebat selama empat jam hingga mengakibatkan paras air Sungai Bakong melimpah dan memasuki rumah.
Seorang penduduk, Nurhafidah Abu Hassan, 46, berkata, keluarganya mulai resah apabila mendapati hujan tidak berhenti kerana masih trauma dengan tragedi aliran puing sebelum ini.
“Apabila air sungai naik mendadak, ia melimpah masuk ke bahagian dapur setinggi satu meter yang membawa sekali lumpur, tanah, sisa ranting dan pokok.
“Kami empat beranak segera mengangkat perabot ke tingkat atas bagi mengelak terendam. Walaupun air surut 15 minit kemudian, namun kami masih trauma dengan kejadian tujuh bulan lalu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang lagi mangsa, Normadiah Zainol, 52, berkata, banjir kilat itu sangat menakutkan sehingga dia dan keluarga tidak sempat menyelamatkan banyak barangan.
“Kami lebih mengutamakan keselamatan diri daripada menyelamatkan barang-barang kerana air naik begitu pantas selain masih trauma dengan tragedi aliran puing.
“Kami bergegas keluar dari rumah kerana bimbang terperangkap sebelum masuk semula selepas air mulai surut 15 minit kemudian,” katanya.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan tragedi aliran puing di kaki Gunung Jerai telah mengakibatkan enam penduduk terkorban dihanyutkan arus deras dan dihempap tanah runtuh.
Dalam kejadian pada 18 Ogos lalu itu, sebanyak 1,732 rumah kediaman, 124 premis dan 14 pengusaha chalet pelancongan turut terjejas dengan fenomena itu.
Sementara itu Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, kejadian banjir kilat itu berlaku kerana sampah sarap dan kayu yang dibawa arus semasa hujan lebat tersangkut pada titi berdekatan dua rumah penduduk terbabit.
“Keadaan itu menyebabkan paras air sungai naik sebelum melimpah ke kawasan sekitar hingga menyebabkan banjir kilat.
“Bagaimana keadaan kembali normal selepas kerja-kerja pembersihan dilakukan,” katanya.