PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan pernah mengeluarkan infografik tular yang mendakwa orang ramai perlu perlu mengambil dos keempat vaksin bagi melawan varian Omicron.
Katanya dalam satu kenyataan di Facebook, infografik tersebut adalah palsu dan ia tidak pernah dikeluarkan oleh pihak kementerian.
“Bagi memastikan fasa peralihan ke endemik yang akan bermula pada 1 April 2022 nanti dilaksanakan dengan selamat, fokus paling utama adalah memupuk kesedaran komuniti ataupun solidariti komuniti serta tanggungjawab individu terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan meluaskan capaian program vaksinasi sedia ada.
“Bagaimanapun, seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan pada 24 Februari 2022, penerima vaksin lengkap jenis Sinovac berumur 18 tahun ke atas dan warga emas berumur 60 tahun ke atas yang telah menerima vaksin lengkap semua jenis perlu mendapatkan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap mereka,” katanya hari ini.
Menurutnya, tempoh masa yang ditetapkan telah dilanjutkan sehingga 31 Mac depan dan bermula 1 April ini, status vaksinasi lengkap akan ditukar kepada tidak lengkap sekiranya masih belum mendapat dos penggalak. – KOSMO! ONLINE