KANGAR – Kehidupan seorang wanita warga emas sentiasa diselubungi ketakutan selepas rumah yang berusia lebih 50 tahun yang kini menjadi tempat dirinya berlindung semakin uzur ibarat menanti masa untuk ‘rebah’.
Lebih menakutkan, sebahagian besar tiang yang menampung rumah yang didiami seorang diri selepas berpisah dengan pasangannya 14 tahun lalu semakin terhakis.
Saodah Junus, 72, berkata, rumahnya semakin uzur apabila papan dan kayu rumah dimakan anai-anai menyebabkan pintu, lantai, dinding dan tiang-tiang semakin mereput.
“Selain itu, kedudukan bahagian dapur dan bilik air yang rendah turut dinaiki air ketika fenomena air pasang besar hujung tahun lalu” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tandiap, Kuala Perlis di sini.
Saodah yang yang berniaga kuih tradisional dan buah potong secara kecil-kecilan memberitahu, rumah berkenaan adalah milik suami, namun diserahkan kepada saya oleh mahkamah setelah melalui proses perceraian.
“Saya mempunyai empat orang anak, seorang telah meninggal dunia, manakala yang lain hanya bekerja kilang dan di pelantar ikan dengan pendapatan tidak menentu,” jelasnya.
Tambahnya, ibu tunggal itu turut menerima bantuan sara hidup Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM350 sebulan.
Katanya, dia tidak kisah sebarang bentuk bantuan sama ada wang tunai, bahan binaan dari badan bukan kerajaan bagi membaiki rumahnya.
Jelasnya lagi, itulah satu-satunya harta miliknya dan menjadi tempat dia berlindung.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Saodah di talian 017-242 7620 atau nombor akaun 02114 29 871508958 (Bank Simpanan Nasional).