JUARA lima kali, Selangor tidak berdepan masalah apabila membelasah kelab Liga M3, Harini FT 6-0 pada aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.
Bagaimanapun, tuan rumah sepatutnya mampu memperoleh lebih banyak gol berdasarkan deretan peluang yang diperoleh sepanjang 90 minit permainan.
Salah satu faktornya adalah disebabkan ketenangan penjaga gol Harini FT, Farizal Harun yang pernah menyarung jersi Negeri Sembilan, ATM, Felda United, Selangor dan Kelantan sebelum ini serta sentuhan penyudah tumpul daripada jentera serangan Selangor.
Perbezaan kualiti pemain yang dimiliki kedua-dua pasukan menyaksikan perlawanan berlangsung secara satu arus dengan menyaksikan Harini FT lebih tertumpu di kawasan sendiri dan menjurus kepada taktikal serangan balas.
Bagaimanapun, Red Giants terpaksa menunggu sehingga minit ke-17 untuk membuka jaringan menerusi Herlison Caion dan berselang 12 minit kemudian, giliran Hyuri Henrique pula menambah gol kedua buat Selangor.
Situasi bola mati sekali lagi menghadiahkan kegembiraan buat Red Giants apabila menambah gol ketiga, kali ini menerusi ketua pasukannya, Safuwan Baharudin pada minit ke-42.
Bersambung babak kedua, Selangor hanya memerlukan tempoh seminit untuk menambah derita Harini FT dan kali ini giliran pemain mudanya, Syahir Bashah cipta nama selaku penjaring.
Walaupun Harini FT kekal dengan keberanian untuk cuba memecah pertahanan Selangor, faktor pengalaman nyata menjadi penghalang kelab Liga M3 itu memperoleh gol pertamanya.
Caion terus pamer bisa apabila menambah dua gol dalam tempoh tiga minit, bermula pada minit ke-63 dan ke-66.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Kelantan United FC mengesahkan kemenangan selesa 4-0 ke atas Kinabalu Jaguar FC.
Kesemua gol The Green Deers dijaringkan oleh Muhammad Haziq Mohd Subri pada minit ke-34, Muhammd Ashraff Aliffuddin Yasin (m-42), Amidu Salifu (m-51) dan Njoku Jacob (m-57). – KOSMO! ONLINE