fbpx

Dua individu direman bantu siasatan kes rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek yang berusia 54 tahun (depan) dan 47 tahun dibenar reman selama lima hari bagi membantu siasatan SPRM selepas dipercayai menerima rasuah bagi membantu mendapatkan kerja-kerja penyediaan perkhidmatan pengangkutan melibatkan projek bernilai kira-kira RM29 juta.

PUTRAJAYA – Seorang penolong pengurus operasi dan bekas pengurus bahagian kontrak di sebuah syarikat penghantaran direman selama lima hari bagi membantu siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah membabitkan syarikat penghantaran.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim terhadap suspek masing-masing berusia 54 tahun dan 47 tahun itu selepas Pegawai Pendakwa SPRM, Siti Zaharah Alias mengemukakan permohonan itu di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.

Kedua-dua suspek direman lima hari sehingga 15 Mac ini dan siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Menurut sumber, kedua-dua suspek berkenaan telah ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini kira-kira pukul 4.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Kedua-duanya disyaki telah menerima rasuah daripada syarikat-syarikat penghantaran antara tahun 2019 hingga 2021 sebagai balasan membantu bagi mendapatkan kerja-kerja penyediaan perkhidmatan pengangkutan syarikat terbabit melibatkan nilai projek kira-kira RM29 juta.

“Kegiatan itu dipercayai dilakukan bersama seorang lagi suspek berusia 43 tahun yang telah ditahan reman selama enam hari oleh SPRM pada 8 Mac lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, pada 8 Mac lalu melaporkan dua individu termasuk seorang ketua perancang bahagian di sebuah syarikat penghantaran berusia 43 tahun direman selama enam hari sehingga Ahad ini di bawah akta sama.

Suspek disyaki menerima rasuah daripada syarikat penghantaran antara tahun 2019 hingga 2021 sebagai balasan membantu bagi mendapatkan kerja penyediaan perkhidmatan pengangkutan syarikatnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI