MELAKA – Dua beradik diberkas polis selepas dipercayai terlibat dalam pelbagai penipuan termasuk penjualan lampin bayi membabitkan nilai kerugian RM3.29 juta, sejak tahun 2005.
Suspek lelaki berusia 39 tahun dan adik perempuannya 36 tahun ditahan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri ketika sedang bercuti di sebuah rumah inap desa mewah di Ayer Keroh di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, hasil risikan polis, suspek ditahan selepas dipercayai terlibat dalam 75 kes penipuan di seluruh negara dengan turut menggunakan gelaran Datuk palsu.
Katanya, suspek turut menipu lebih 50 individu di negeri ini yang merupakan ejen lampin bayi membabitkan nilai kerugian RM850,886 pada 2016.
“Hasil siasatan, kedua-dua suspek dipercayai telah aktif sejak 2005 sehingga 2017 dan telah menipu ramai mangsa membabitkan jumlah keseluruhan kerugian RM3,298,135.
“Daripada 75 kes penipuan, dua merupakan kes di Melaka melibatkan dua mangsa berusia 30-an yang menguruskan kira-kira 50 ejen di bawah mereka untuk penjualan lampin bayi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, di sini, hari ini.
Tambahnya, suspek menjanjikan stok lampin bayi pakai buang yang dijual sebanyak 48 sehingga 60 keping sekotak.
Mengulas lanjut beliau berkata, modus operandi suspek adalah mengiklankan produk di laman sosial Facebook dengan tawaran harga rendah.
“Suspek akan meyakinkan mangsa bahawa mereka mampu menyediakan bekalan lampin bayi seperti dijanjikan mengikut tempahan.
“Kita percaya perancang utama adalah suspek lelaki, manakala adiknya menguruskan transaksi pemindahan wang yang diminta daripada mangsa,” katanya.
Jelasnya, dalam tangkapan itu polis merampas tiga buah telefon bimbit dan sekeping kad palsu keahlian parti politik tertera nama suspek lelaki dengan gelaran Datuk.
Katanya, suspek lelaki turut melakukan pelbagai penipuan lain termasuklah urusan pembelian kereta, komputer riba, sewaan kereta, pakej telefon bimbit, pakej pelancongan, jongkong emas dan set aksesori motosikal.
Abdul Majid berkata, suspek lelaki direman sehingga esok, manakala adik perempuannya diberi jaminan polis selama sebulan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE