SELAYANG – Gara-gara menetak kepala dan tangan seorang peguam selepas berang ditegur kerana tidak memakai pelitup muka dan merokok masuk ke pasar raya, seorang lelaki didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman denda itu terhadap M. Samasiveng, 57, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara selama 11 bulan dan tertuduh membayar jumlah denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Samasiveng didakwa didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera dengan menggunakan sebilah parang yang mungkin menyebabkan kematian terhadap Gurcharan Singh Sohan Singh ,60, di sebuah pasar raya di Taman Bersatu Rawang di sini pukul 12.45 tengah hari pada 9 mac lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada seksaan itu.
Terdahulu, peguam T.P Aravind yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan tertuduh mengalami penyakit gout, darah tinggi dan kencing manis.
“Tertuduh juga turut menjaga dan menanggung isterinya yang turut mempunyai penyakit sama selain turut menjaga cucunya,” kata peguam itu.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azhar memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam.
“Mangsa dalam kes ini telah mengalami kecederaan dengan 14 jahitan di kepala dan tangan,” kata Nur Shasha.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian ketika mangsa berada di kaunter pasar raya tersebut untuk membuat bayaran, dia telah menegur seorang lelaki iaitu tertuduh yang tidak memakai pelitup muka sambil merokok untuk masuk ke pasar raya itu.
Selepas mangsa keluar dari pasar raya, tertuduh kemudian telah memarahi mangsa selain bertindak mengambil sebilah parang dari kereta dan menetak di bahagian kepala dan tangan kiri mangsa. – KOSMO! ONLINE