LUMUT – Sebuah bot nelayan tempatan kelas B yang menggunakan kru warga asing ditahan pada kedudukan enam batu nautika barat Sungai Tiang, Bagan Datuk kelmarin.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Perak, Komander Maritim Fadzliana Fadzil berkata, penahanan dibuat kira-kira pukul 1 tengah hari semasa rondaan rutin.
“Pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan empat kru termasuk tekong, dua daripadanya warga Myanmar.
“Mereka menggunakan pukat tunda bagi menangkap ikan di kawasan kurang daripada lapan batu nautika iaitu melanggar syarat sah lesen bagi bot nelayan tempatan kelas B,” katanya di sini.
Lesen bot nelayan tempatan kelas B hanya membenarkan aktiviti perikanan dilakukan lebih daripada lapan batu nautika dari pantai.
Kata Fadzliana, dua kru warga asing berumur lingkungan 26 hingga 40 tahun itu juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959.
Ujar beliau, kesemua kru dan tekong, bot serta hasil tangkapan laut dibawa ke Pusat Tahanan Maritim, Sitiawan bagi siasatan dan tindakan lanjut. -KOSMO! ONLINE