RATU luncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah berada dalam kelas tersendiri apabila meraih dua pingat emas dan satu gangsa untuk muncul juara keseluruhan Kejohanan Moomba Masters 2022 di Melbourne, Australia semalam.
Kejayaan itu amat bermakna buat Aaliyah, 18, selepas dia tidak dapat menyertai sebarang pertandingan dalam tempoh dua tahun lalu disebabkan pandemik Covid-19.
“Saya suka bertanding dalam Moomba Masters. Ini adalah salah satu kejohanan kegemaran saya dan antara yang terbaik di dunia.
“Saya menggemari cabaran di Sungai Yarra ini. Ia adalah satu pencapaian besar kerana saya berupaya mencatat rekod peribadi terbaik untuk tahun ke-10 di sini.
“Ini sudah pasti kemuncak kepada kerjaya saya di peringkat remaja dengan meraih tiga kemenangan dan satu gangsa pada kejohanan ini,” katanya.
Aaliyah meraih pingat emas acara tricks dan jump selain menduduki tempat ketiga untuk kategori slalom pada kejohanan yang berlangsung di Sungai Yarra itu.
Naib juara keseluruhan menjadi milik atlet Amerika Syarikat, Elizabeth Hall, manakala Kristy Appleton dari Australia di tempat ketiga.
Sebagai rekod, Aaliyah turut mencipta rekod kebangsaan baharu apabila berjaya melepasi jarak 40 meter (m) dengan lompatan sejauh 41.4m bagi acara jump sekali gus mengatasi catatan lama 39.5m dilakukannya kelmarin. – KOSMO! ONLINE