DUNGUN – Banjir besar dua minggu lalu menyebabkan masalah tanah mendap dan berlubang di Kilometer 26, Jalan Tepus-Pasir Raja, berhampiran Kampung Jongok Batu di sini semakin kronik.
Senario berlarutan sejak tiga tahun itu menyukarkan lebih 3,000 penduduk di enam perkampungan di Hulu Dungun yang menjadikan ia sebagai laluan utama untuk aktiviti harian.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Jongok Batu, Armin Mat Seman berkata, mendapan tanah dan berlubang itu semakin kritikal apabila banjir besar melanda mukim Hulu Dungun berkenaan pada hujung Februari lalu.
“Demi jaminan keselamatan, kami terpaksa menggunakan laluan alternatif lebih jauh kira-kira 70 kilometer (km) hanya untuk ke kampung bersebelahan.
“Sebagai perbandingan, jika Kilometer 26, Jalan Tepus-Pasir Raja masih boleh dilalui, jaraknya cuma dua kilometer,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Nor Zafawi Hussin, 53, berkata, perjalanan mereka untuk aktiviti harian lebih memakan masa.
“Contohnya, anak-anak kami yang sedang menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil masa lebih 40 minit untuk ke pusat peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jengai di sini.
“Sehubungan itu, saya berharap kerajaan lebih cakna bukan sahaja membaiki kerosakan segera tetapi penyelesaian lebih jitu agar masalah sama tidak berulang lagi pada setiap musim tengkujuh,” katanya.
Nor Zafawi mencadangkan agar sebuah jambatan dibina merentasi laluan berkenaan sebagai penyelesaian jangka panjang.