AKSI pertama beregu campuran profesional negara, Ong Yew Sin-Goh Liu Ying pada kejohanan antarabangsa tidak mencapai sasaran dimahukan apabila tersingkir seawal pusingan pertama di kejohanan badminton Terbuka Jerman.
Pada perlawanan yang berlangsung di Westenergie Sporthalle itu, Yew Sin-Liu Ying terpaksa akur dengan kekalahan straight set 21-16, 21-13 kepada wakil Scotland, Adam Hall-Julie Macpherson.
Bagaimanapun, kekalahan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan gandingan tersebut baru sahaja dibentuk awal bulan lalu selain beraksi pada kejohanan antarabangsa sulung mereka.
Liu Ying menjelaskan, Yew Sin yang turut beraksi dalam acara beregu lelaki masih belum dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan beregu campuran sehingga kelihatan tidak selesa di atas gelanggang.
“Ini adalah perlawanan pertama kami sejak digandingkan sebelum ini dan dia (Yew Sin) nampak masih belum selesa dalam gelanggang untuk acara beregu campuran kerana ia sangat berbeza dengan beregu lelaki.
“Oleh itu, saya akan berikan lebih masa kepadanya untuk menyesuaikan diri dengan beregu campuran kerana dia tidak pernah bermain dalam acara ini pada kejohanan-kejohanan terdahulu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambah Liu Ying, mereka mahu menggunakan masa yang ada bagi memperkemaskan corak permainan serta keserasian menjelang kejohanan Seluruh England (All England) bermula 16 hingga 20 Mac ini.
“Selepas ini kami akan menyertai All England, jadi saya harap dia boleh menggunakan masa yang ada untuk mendapatkan rentak dalam acara beregu campuran kerana Yew Sin masih belum dapat biasakan diri.
“Bagaimanapun, saya tidak akan beri tekanan kepada dia kerana faham bukan mudah untuk beraksi dalam dua cara berbeza. Walaupun dia ada pengalaman, namun ia sudah lama ketika masih junior,” ujar pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu.