JOHOR BAHRU – Golongan peniaga di bandar raya ini menarik nafas lega selepas kerajaan mengumumkan sempadan antarabangsa bakal dibuka bermula bulan hadapan.
Rata-rata peniaga memaklumkan pengumuman itu sememangnya paling ditunggu selepas perniagaan masing-masing terjejas akibat penutupan sempadan dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 2020.
Seorang peniaga, Muhammad Zaki Supaid, 39, berkata, dengan pengumuman itu, pelancong asing terutamanya dapat mengunjungi semula negara ini tanpa perlu menjalani kuarantin.
“Sebelum ini perniagaan yang saya usahakan di Pasir Gudang umpama hidup segan mati tidak mahu sepanjang tempoh dua tahun ini.
“Sejak penutupan sempadan negara, golongan peniaga antara yang terkesan apatah lagi saya yang menjalankan perniagaan cenderamata dan kraftangan.
“Dalam tempoh itu, kami hanya bertahan dengan wang simpanan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Seorang lagi peniaga, Khalidah A. Wahab memberitahu, tindakan kerajaan membuka sempadan merupakan langkah positif agar golongan peniaga dapat meneruskan perniagaan masing-masing selepas dua tahun dibelenggu kerugian.
“Kami sudah bertahan selama dua tahun, jadi apabila sempadan antarabangsa dibuka, kami amat berharap ramai pelancong datang kembali ke negara ini.
“Sebagai penduduk Johor Bahru, kami juga berharap kerajaan Singapura dapat mengambil langkah serupa bagi membolehkan pergerakan antara kedua-dua negara,” katanya yang mengusahakan kedai serbaneka di Johor Bahru.
Bagi peniaga kafe, Nor Akmal Muhammad, 32, pula, pengumuman kerajaan kelmarin umpama satu ‘morale booster’ buat pihaknya untuk terus mengembangkan perniagaan kedai makan sedia ada di bandar raya ini.