DUNGUN – Seorang penghantar makanan berdepan detik cemas dikejar seekor harimau belang di Taman Bersekutu berhampiran Kampung Sura di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada 8.40 malam itu, Mohd Shafiq Mamat, 27, terselamat dengan memecut motosikal yang ditunggangnya bersendirian selaju mungkin.
Menceritakan semula sewaktu kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Permint di sini selepas selesai menghantar makanan dipesan pelanggan yang menetap di kawasan perumahan berhampiran lokasi kejadian.
“Saya ternampak kelibat pak belang tersebut melalui cahaya lampu motosikal selepas melalui sebuah jambatan.
“Saya panik apabila harimau tersebut yang berada di sebelah kanan jalan cuba menerkam saya. Tanpa berfikir panjang, saya terus memecut laju motosikal,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian hari ini.
Mohd Shafiq yang baru dua tahun bekerja sebagai penghantar makanan berkata, harimau tersebut terus mengejarnya sehingga sejauh kira-kira lima kilometer.
“Masa tu saya tidak fikir panjang selain memulas pedal minyak sekuat hati agar motosikal dinaiki amat memecut laju,” katanya. – KOSMO! ONLINE