PETALING JAYA – Ketika ramai sedang berperang melawan penularan Covid-19, aktres terkenal Nabila Huda mengesahkan dirinya positif virus tersebut buat kali kedua semalam.
Nabila atau mesra dengan panggilan Abil menerusi Instagramnya memberitahu simptom yang dialaminya ketika ini lebih serius berbanding jangkitan pertama sekitar Mei tahun lalu.
Katanya, sakit tekak, selesema dan demam antara simptom yang dialaminya ketika ini.
“Saya dijangkiti Covid-19 buat kali kedua. Untuk kali ini, kesakitannya lebih teruk berbanding yang pertama dulu.
“Kali ini tekak rasa sangat sakit, selesema dan demam pula seperti on dan off,” kongsi pengacara Melodi itu.
Berjauhan dengan keluarga, pelakon filem M4M4 itu mengakui sedikit kecewa kerana terpaksa melalui tempoh kuarantin di Perlis namun tetap reda dengan situasi tersebut.
Difahamkan, dia kini berada di Perlis bagi menyambung penggambaran filem Telaga Suriram arahan Osman Ali.
“Kini saya menjalani tempoh kuarantin tetapi perkara yang tidak seronok ialah jauh daripada keluarga.
“Ujian calitan pertama saya buat, negatif tetapi bila sampai ke Perlis, keitusan ujian kedua positif pula.
“Pengalaman pertama dulu, gejala hanya hilang deria bau dan rasa tetapi untuk kali ini, sakitnya lain, memang terasa lain. Doakan saya ya semua,” katanya lagi.
Terdahulu, pemilik nama penuh Nur Nabila Huda Suhaimi, 37, pernah mengesahkan dirinya dijangkiti Covid-19 sekitar Mei tahun lalu dan menjalani tempoh kuarantin kendiri di rumah. – KOSMO! ONLINE