REAKSI pantas yang dipamerkan pemain menjadi azimat buat Selangor MAC untuk mempertahankan kejuaraan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2022.
Ketua jurulatih Selangor MAC, Addy Shairullyzam Shafiee berkata, perjalanan anak-anak buahnya pada edisi kali ini bermula dengan kejutan apabila kalah kepada Negeri Sembilan.
“Bukan mudah untuk Selangor MAC kerana kita bermula dengan kekalahan. Apabila kita bermula dengan kegagalan, saya beritahu kepada pemain supaya alihkan fokus kepada perlawanan seterusnya.
“Sejak detik itu kami bersemangat untuk bawa kejayaan dan cuba kekalkan kejuaraan. Dengan latihan yang dirangka, kami dapat baiki kesilapan dan kekal dengan kemenangan 12 perlawanan berturut-turut,” katanya.
Malam kelmarin, Selangor MAC menoktahkan pemburuan kejuaraan selepas menewaskan Shah Alam City 1-0 di Kompleks Sukan Negara Shah Alam Panasonic hasil jaringan Matheus Vasconcelos Silva.
Walaupun masih lagi berbaki satu perlawanan berdepan Pahang Rangers, 13 Mac ini, jumlah 36 mata yang diraih sudah memadai buat Selangor MAC mempertahankan kejuaraan.