PETALING JAYA – Kerajaan memandang serius isu berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dilihat semakin membimbangkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, isu LGBT juga perlu diberi perhatian oleh semua pihak meliputi badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat awam.
“Negara ini berpegang kepada agama Islam sebagai agama Persekutuan yang menerapkan nilai moral berlandaskan adat, budaya serta agama, maka LGBT adalah bertentangan dengan agama, moral dan budaya Malaysia.
“Homoseksual adalah bertentangan dengan undang-undang negara, bukan saja undang-undang jenayah syariah tetapi juga undang-undang sivil,” katanya semasa menjawab soalan Che Alias Hamid (Kemaman) di Dewan Rakyat, hari ini.
Idris berkata, di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan, adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan aturan fitrah.
“Kerajaan melalui mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sudah menegaskan pada 16 Jun 2019 di Cambridge Union, United Kingdom, bahawa Malaysia bertegas tidak akan mengalah kepada sebarang tekanan untuk menerima amalan songsang dalam kalangan rakyat negara ini, terutama membabitkan unsur LGBT.
“kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga sudah mengambil inisiatif dengan membangunkan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) 2019-2025 bagi menangani gejala sosial dalam kalangan masyarakat, terutama permasalahan sosial dihadapi masyarakat Islam yang semakin meruncing,” ujarnya.
Katanya, ia membabitkan pelbagai isu seperti penagihan dadah, remaja hamil (tidak berkahwin), pembuangan bayi, perceraian, gelandangan, penularan virus HIV/AIDS, penagihan arak, seks bebas, sumbang mahram, jenayah juvana, amalan gaya hidup songsang dan sebagainya.
“Pelaksanaan PTSI juga mendukung Dasar Sosial Negara bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM),” tambahnya. – KOSMO! ONLINE