JAKARTA – Setiausaha Kementerian Kesihatan Indonesia, Siti Nadia Tarmizi memaklumkan pihaknya sedang merangka pelan bagi republik itu menuju ke fasa endemik Covid-19 dalam masa terdekat, lapor laman berita Kompas, semalam.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa fasa endemik hanya akan bermula sekiranya syarat-syarat utama dicapai iaitu penularan komuniti di Tahap Satu, kadar vaksinasi mencapai 70 peratus, pelaksanaan 3T (pengujian, pengesanan dan rawatan) mengikut piawaian dan kadar kebolehjangkitan (R-naught) kurang daripada 1.
“Jadi, pelonggaran aktiviti kemasyarakatan termasuk program kesihatan akan dinilai mengikut trend penularan dan pada dasarnya, kita mencari titik keseimbangan antara kepentingan kesihatan dan misi hidup bersama Covid-19,” kata Siti Nadia dalam satu sidang akhbar secara maya.
Dalam pada itu, beliau menambah, susunan pelan ke arah pelonggaran protokol kesihatan seperti menjaga jarak dan pemakaian pelitup muka tidak akan dilakukan serentak.
“Kita sudah hampir memasuki bulan Ramadan, mungkin penjarakan sosial tidak lagi dijadikan kewajipan tetapi semua jemaah wajib membawa sejadah,” katanya.
Selain itu, mengenai kemungkinan menanggalkan pelitup muka semasa tempoh endemik, Siti Nadia berkata, ia akan bergantung kepada keadaan perkembangan Covid-19.
“Walau bagaimanapun, pemerintah akan melonggarkan aktiviti kemasyarakatan secara beransur-ansur terlebih dahulu,” ujarnya. – Agensi