fbpx

Harimau Kumbang sia-siakan kelebihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain Penang FC gagal merealisasikan hasrat meraih kemenangan di hadapan kira-kira 1,400 penyokong sendiri di Stadium Bandaraya malam kelmarin. – PENANG FC

PASUKAN Penang FC terpaksa akur sekadar berpeluang me­ngutip satu mata apabila seri 1-1 dengan Melaka United dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya malam kelmarin.

Skuad kendalian ‘Jurgen Klopp’ Malaysia, Tomas Trucha itu dilihat masih belum mene­mui keseimbangan selepas gagal untuk merealisasikan hasrat meraih kemenangan di hadapan kira-kira 1,400 penyokong di laman sendiri.

Menurut jurulatih dari Republik Czech itu, pasukannya mengikut perancangan strategi yang ditetapkan pada awal babak pertama selain mampu mengawal benteng pertahanan dan menyekat peluang pihak lawan.

“Banyak peluang yang diperoleh pada masa pertama dan benteng pertahanan juga banyak memainkan peranan sehingga tidak beri peluang kepada pasukan lawan menjaringkan gol.

“Namun, bukan tuah kami untuk mendapatkan jaringan tambahan dan pemain melakukan kesalahan yang tidak dijangka sehingga gagal mengawal rentak permainan.

“Memang tidak gembira de­ngan keputusan perlawanan malam tadi (kelmarin) kerana kami sepatutnya menang di laman sendiri di hadapan penyokong,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Harimau Kumbang mendahului 1-0 pada minit ke-27 menerusi pemain pertahanan, Muhammad Danial Ashraf Abdullah, tetapi terpaksa berkongsi mata 1-1 selepas kapten, Abdul Latiff Suhaimi tertampan bola ke gawang sendiri lima minit sebelum tamat babak pertama.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Melaka United, Risto Vidakovic Savic berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan barisan pemainnya terutama dalam baki 45 minit separuh masa kedua.

“Persiapan kami lewat dan tak mungkin dapat memberikan 100 peratus tetapi pemain berjaya menampilkan aksi cemerlang mereka ketika menentang pasukan Penang FC di tempat lawan.

“Memang puas hati melihat perlawanan itu kerana mereka beraksi dengan lebih baik terutama pada masa kedua. Banyak peluang yang mereka dapat dan cukup membuktikan mereka mula mendapat rentak permai­nan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI