PETALING JAYA – Desaru Coast Destination Resort (Desaru Coast) telah meningkatkan kesalinghubungan antarabangsanya dengan melantik Desaru Link Ferry Services Pte. Ltd., anak syarikat Batam Fast Ferry Pte. Ltd. (Batam Fast) untuk menawarkan perkhidmatan feri penumpang menghubungkan Terminal Feri Tanah Merah, Singapura dengan Terminal Feri Desaru Coast, Johor.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Development Holdings One Sdn. Bhd., Roslina Arbak berkata, pelantikan pengendali feri adalah langkah kesalinghubungan antarabangsa yang penting untuk destinasi syarikat.
“Kami gembira dapat bekerjasama dengan pengendali terkenal dan terkemuka seperti Batam Fast.
“Mereka telah membawa perkhidmatan yang boleh dipercayai, kepakaran pasaran, pengalaman dan juga standard keselamatan tinggi, iaitu semua ciri yang diharapkan oleh para tetamu kami.
“Hubungan ini adalah penting bagi pertumbuhan jangka panjang Desaru Coast.
“Pintu masuk antarabangsa seperti ini akan membawa pelbagai faedah ekonomi dan sosial kepada masyarakat dan perniagaan di kawasan Johor Tenggara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Roslina menerangkan, Terminal Feri Desaru Coast kini sedia untuk beroperasi dan akan menghubungkan pengembara dari Singapura dan Kepulauan Riau Batam dan Bintan, Indonesia.