SHAH ALAM – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Syria Care mengakui, sumbangan wang daripada rakyat Malaysia kepada mangsa pelarian Syria semakin berkurangan, sejak tiga tahun kebelakangan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, hal ini dapat dibuktikan dengan kemerosotan sumbangan sebanyak 18 peratus dari tahun 2019 sehingga 2020, manakala 25 peratus bagi tahun 2020 hingga 2021.
“Pada tahun 2020, kami berjaya mengutip RM13,995,827, namun pada tahun lalu, hanya mengutip RM10,542,765.
“Saya tidak nafikan berlakunya pandemik Covid-19 menjadi salah satu faktor jumlah sumbangan merosot. Bagaimanapun tetap bersyukur kerana ada rakyat Malaysia yang tidak jemu memberikan sumbangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar tentang pengumuman kempen mengutip dana bantuan Ramadan pelarian Syria di ibu pejabat Syria Care di Seksyen 13 di sini semalam.
Justeru, menurut Siti Sakinah, pelbagai cara telah dilakukan pihaknya bagi meningkatkan kutipan sumbangan untuk memastikan segala program yang dirancang untuk pelarian Syria dapat dilaksanakan.
Tambah beliau, ini termasuk membuat promosi secara berkala di latform media sosial serta menjalankan kerjasama dengan beberapa universiti tempatan mempromosikan Syria Care kepada penuntut universiti terbabit.
“Kami juga telah melancarkan Oder Food, satu kaedah untuk menyumbang makanan sempena bulan Ramadan.
“Melalui Oder Food, rakyat Malaysia boleh memilih dua pakej, iaitu pakej bernilai RM15 dan RM150 makanan berbuka puasa kepada pelarian Syria,” katanya.
Sehingga kini, jumlah derma yang diperoleh pihaknya hanya mampu menyediakan makanan berbuka puasa kepada 1,200 pelarian sehari.
Siti Sakinah berkata, sasaran ini amat jauh berbanding pencapaian tahun sebelum ini kerana pihaknya dapat menyediakan makanan kepada 6,000 pelarian sehari.
“Kita menjangkakan untuk mengutip RM4.2 juta untuk membolehkan semua pelarian dapat makanan berbuka sehingga Ramadan berakhir. – KOSMO! ONLINE