PENERIMAAN orang ramai terhadap virus pembunuh, Covid-19 ketika ini jauh berbeza berbanding tahun lalu.
Jika sebelum ini, mereka nampak bimbang sehingga ada yang ‘mengurung’ diri dan keluarga di rumah ekoran status vaksinasi negara yang masih rendah.
Namun kini, situasi itu berlainan apabila orang ramai dilihat lebih selesa dan selamat selepas mendapat vaksin.
Tambahan pula, pengenalan prosedur operasi standard (SOP) baharu di mana individu berusia 18 tahun ke atas yang sudah lengkap vaksin serta dos penggalak tidak perlu menjalani kuarantin sekiranya dikesan menjadi kontak rapat.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar baru-baru ini memaklumkan, individu yang dikesan menjadi kontak rapat hanya perlu membuat ujian saringan kendiri (RTK) dan sekiranya didapati positif, mereka perlu melaporkan keputusan itu di aplikasi MySejahtera serta menjalani isolasi di rumah.
Jika pada awal wabak ini dikesan individu positif Covid-19 atau mempunyai kontak rapat pasti akan dipakaikan gelang merah jambu bagi mengelak mereka keluar dari rumah sesuka hati.
Bagaimanapun, disebalik kelonggaran ini, wujud kebimbangan adakah seseorang yang dikesan positif boleh berlaku jujur?
Adakah mereka akan melaporkan status kontak rapat pada aplikasi MySejahtera?
Jika kita lihat di media sosial, ramai ketika ini dengan bangganya mengaku bahawa mereka keluar rumah walaupun positif Covid-19.
Malah, ada juga yang mengaku perkara itu mudah dilakukan kerana banyak premis sudah tidak menyemak status MySejahtera pelanggan selain tiada pengenalan pesakit Covid-19 kerana mereka tidak dipakaikan gelang merah jambu.
Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Malina Osman berkata, situasi berkenaan bergantung kepada sikap dan tanggungjawab seseorang, bagaimana mereka mahu melindungi diri sendiri dan juga orang sekeliling.
Sekiranya mereka berbohong katanya, kesan buruk bukan pada diri mereka tetapi individu lain terutama golongan rentan.
Malah, kata Dr. Malina, tindakan itu juga bukanlah perkara yang sepatutnya dibangga-banggakan dan ditularkan seperti yang banyak berlaku ketika ini.
“Saya memandang tindakan sebagai satu keadaan mengambarkan tiada semangat patriotik dalam diri mereka selain tidak bersama-sama membantu melindungi golongan rentan.
“Pada masa ini, walaupun kes banyak kesannya tidak begitu ketara berbanding varian Delta. Tetapi, kita sekarang ini berlumba dengan masa untuk melindungi golongan yang rentan,” katanya baru-baru ini.
Tambahnya, tindakan individu sesuka hati tidak mahu menjalani kuarantin membahayakan golongan tidak divaksin kerana mereka mungkin akan mendapat komplikasi teruk.
“Jadi, keadaan tersebut sepatutnya dielakkan. Setiap kali seseorang itu positif wabak Covid-19, walaupun dia tidak mempunyai simptom ketara, dia masih perlu menjalani kuarantin.
“Tindakan itu penting walaupun simpton tidak teruk. Ini kerana, jika virus itu berjangkit pada individu lain, dia mungkin akan menyebabkan orang lain itu mendapatkan simptom yang teruk kerana imun seseorang itu tidak sama,” ujarnya.
Jelas Dr. Malini lagi, sekiranya kesedaran melindungi golongan rentan masih kurang dalam diri semua orang, maka proses pemulihan untuk berubah ke fasa endemik agak sukar dilakukan.