MATT REEVES yang bertindak sebagai pengarah filem Batman kali ini melunaskan tanggungjawab dengan begitu cemerlang. Adi wira Batman edisi 2022 terzahir sebagai terjemahan baharu yang tersangatlah luar biasa daripada pelbagai sudut.
The Batman yang dibintangi dua pelakon handalan, Robert Pattinson sebagai Batman atau Bruce Wayne Zoë Kravitz (Selina Kyle/Catwoman) merupakan satu epitome adi wira yang sudah dibikin banyak kali, namun berdiri dengan signifikan dan kualiti tersendiri.
Tersendiri yang layak dicanang sebagai antara filem Batman terbaik yang pernah diterbitkan dalam sejarah. Itu pengakuan hampir semua orang termasuk jujur penulis yang sempat menghabiskan hampir tiga jam menonton naskhah berkenaan minggu lalu.
Bukan tipikal
The Batman bukan filem tipikal yang sememangnya sudah pernah dipertontonkan kepada umum. Naskhah adaptasi daripada DC Comics berkenaan menderaskan adrenalin luar biasa dari segi sinematografi, efek bunyi, jalan cerita, permainan karakter dan perihal penting lain.
Dari segi kualiti lakonan, Robert Pattinson ternyata menyuntik elemen dan roh tersendiri dalam karakter Batman. Terjemahan karakter olehnya bersifat ‘manusiawi’ yang tidak terlalu berlebih-lebihan.
Bruce atau Batman kali ini mempunyai emosi yang sangat dekat dengan masyarakat.
Empatinya membuatkan penonton berfikir, inilah ‘superhero’ atau adi wira yang diperlukan.
Batman kali ini cakna dengan keadaan sekeliling dan mempunyai rasa kasih yang tidak berbelah bahagi terhadap penduduk Gotham City.
Kita semua sedia maklum bahawa Bruce Wayne ialah individu elit di Gotham, namun penonton pasti bersetuju bahawa di tangan Pattinson, Batman kali ini sangat unik.
Jika filem DC lain, Joker lakonan Joaquin Phoenix memercikkan kualiti tersendiri dicanang satu dunia sehingga dinamakan Pelakon Lelaki Terbaik Oscar, Pattinson juga sebenarnya mempunyai peluang sama.
Dia sangat bagus dalam The Batman dan secara peribadi, dia layak untuk diangkat atau sekurang-kurangnya menerima pencalonan terbaik atas kerja yang dipamer dalam Batman edisi kali ini.
Teknikal lengkap
Persembahan Zoë Kravitz sebagai Selina Kyle atau Catwoman juga tidak mengecewakan. Sama energi seperti Robert, Zoë melunaskan peranannya dengan gaya dan kualiti tersendiri.
Jika Robert menjadi antara Batman terbaik dalam sejarah, Zoë pula merupakan antara Catwoman terbaik.
Dari segi teknikal, plot atau naratif The Batman sememangnya lain daripada daripada apa yang pernah dihasilkan sebelum ini. Penceritaan lebih mendalam, ‘dark’ dan berseni. Ternyata, Matt Reeves sebagai pengarah menjalankan tugas dengan sempurna.
Dari segi sinematografi, individu yang bertanggungjawab untuk kerja tersebut iaitu Greig Fraser melahirkan kualiti kerja bertaraf olimpik.
Perihal tersebut turut dipadukan dengan efek bunyi tahap mega dengan orkestra yang cocok untuk setiap momen.
Selain letupan aksi bertubi-tubi, nilai hebat tentang The Batman lahir daripada kualiti pengarahan Matt Reeves. Seperti yang disebutkan tadi, filem kali ini bukan tipikal Batman yang pernah kalian tonton sebelum ini.
Tiga jam terasa panjang atau lama? Buat penulis, itu antara pengalaman sinematik paling menyeronokkan yang jarang dapat dinikmati apabila berkunjung di pawagam.