MELAKA – Seorang lelaki warga emas maut apabila kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terhumban ke bawah jambatan Syed Abdul Aziz di Taman Kota Laksamana, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul itu 9.20 pagi, mangsa, Tan Chin Chee, 76, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kejadian berlaku apabila kereta jenis Toyota Vios dipandu mangsa yang dalam perjalanan menghala ke Melaka Raya telah hilang kawalan.
“Kereta mangsa dari lorong kiri telah masuk ke laluan bertentangan sehingga terjatuh dari jejambat Jalan Syed Abdul Aziz.
“Anggaran ketinggian dari jambatan Jalan Syed Abdul Aziz ke tempat kejadian adalah lebih kurang 15 meter dan akibat kemalangan itu mangsa disahkan maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Komander Operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan II, Rahim Ismail berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 9.26 pagi.
Katanya, sepasukan lapan anggota termasuk sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi, kita dapati terdapat sebuah kereta dalam keadaan remuk dipercayai terjatuh daripada jambatan dan terdapat seorang lelaki di dalamnya.
“Pemandu tersebut telah disahkan meninggal dunia dan operasi mengeluarkan mengambil masa kira-kira 10 minit sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE