LONDON – Seorang wanita dari Britain mendedahkan bahawa dia tidak pernah makan buah atau sayur selama 22 tahun dan hanya bertahan dengan diet nuget ayam, jejari dan kerepek kentang kerana mengalami fobia makanan yang melampau, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Summer Monro, 25, mengalami gangguan pengambilan makanan (ARFID) yang dipercayai mula berlaku setelah dia dipaksa makan kentang putar ketika berusia tiga tahun.
Sejak itu, dia telah bertahan dengan hanya memakan nuget ayam jenama Birds Eye dan kerepek kentang Walkers serta jejari kentang.
Menurutnya, dengan hanya melihat sebiji buah atau sebatang sayur, sudah cukup untuk membuatkannya terkedu.
Tambah wanita itu, dia juga tidak bersarapan pagi. Hidangan makan tengah harinya pula adalah sebungkus kerepek kentang Walkers dan enam hingga lapan keping nuget Birds Eye bagi makan malam.
Monro telah cuba menjalani terapi sebanyak dua kali dalam usaha menghilangkan fobia yang dialaminya itu, namun gagal.
Walaupun mempunyai tabiat pemakanan yang terhad, Monro menegaskan bahawa dia sihat sepenuhnya dan tidak mengambil sebarang vitamin atau makanan tambahan kesihatan. – Agensi