LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Antonio Conte menyifatkan pemainnya berjaya mepamerkan aksi bertaraf lima bintang ketika membelasah Everton 5-0 di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi semalam.
Kejayaan itu turut dibantu oleh prestasi luar biasa Harry Kane yang meledak dua gol, malah barisan pertahanan Spurs turut menarik perhatian Conte selepas dilihat kebal hingga menafikan usaha Everton mencipta percubaan.
“Ini adalah kemenangan cukup penting dan pemain juga pamerkan persembahan sangat baik. Kami begitu cemerlang dalam banyak aspek, menjaringkan lima gol dan mencipta banyak peluang.
“Pada masa sama, saya dapat lihat banyak perkara positif. Apa yang pasti, apabila kami memiliki tempoh lama untuk membuat persiapan, ia akan memberikan kesukaran kepada pasukan lawan untuk berdepan dengan kami.
Tiga lagi jaringan Tottenham dihasilkan Son Heung-Min, Sergio Reguilon dan satu gol sendiri, Michael Keane.
Di sebalik kejayaan luar biasa kali ini, Conte juga tetap waspada dan mengingatkan para pemainnya supaya tidak terus dilamun mimpi indah memandangkan masih banyak kerja perlu dilakukan dalam baki saingan musim ini
“Sekarang saya mula lihat banyak perkara yang perlu kami lakukan sepanjang minggu. Kami boleh meraikan kejayaan ini kerana pasukan ini memang berhak,” kata Conte. – AGENSI