MONTERREY, Mexico – Bintang tenis Kanada, Leylah Annie Fernandez sekali lagi mencuri tumpuan apabila berjaya mempertahankan gelaran WTA dengan muncul juara pada Terbuka Monterrey.
Atlet berusia 19 tahun tersebut berjaya menewaskan pemain Colombia, Camila Osorio 6-7 (5), 6-4, 7-6 (3), sekali gus mempertahankan kemenangan dua tahun berturut-turut.
Meskipun terpaksa berhempas pulas selama dua jam 52 minit, Fernandez ternyata gembira dengan penampilannya dan tekad untuk terus memburu gelaran WTA pada musim ini.
“Perancangan saya musim ini adalah ingin mengekalkan aksi konsisten pada setiap kejohanan. Mudah-mudahan, saya akan berada dalam kelompok ranking 10 terbaik dunia pada penghujung musim ini.
“Oleh itu, saya juga berpeluang untuk beraksi WTA Final nanti. Itu adalah matlamat saya untuk musim ini. Saya tidak mahu tertekan dan mahu menikmati perlawanan. Oleh itu, fizikal dan mental saya akan menjadi lebih baik,” katanya.
Selepas berakhir kejohanan tersebut, Fernandez akan melakukan persiapan untuk bersaing pada kejohanan Piala Billie Jean King menentang Latvia pada bulan depan di Vancouver. – AGENS