SHAH ALAM – Seorang penjawat awam ditahan selepas meminta dan menerima rasuah berjumlah RM2,500 bagi kerja-kerja penurapan jalan.
Menurut sumber, lelaki berusia 35 tahun yang bertugas di sebuah agensi kerajaan ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di sini pada pukul 2 petang tadi.
“Suspek dikatakan telah meminta dan menerima rasuah tersebut daripada sebuah syarikat kontraktor.
“Ini dipercayai sebagai balasan untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan kerja-kerja penurapan jalan bernilai RM90,000,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
“Suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk permohonan reman,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE