TUMPAT – Polis Kelantan sedang menilai kerosakan lima buah balai polis di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat yang terjejas akibat banjir baru- baru ini.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, penilaian itu dikira daripada aspek kerosakan bangunan dan aset di dalam pejabat yang akan dihantar ke Bukit Aman untuk tindakan lanjut.
Katanya, antara balai polis yang terjejas akibat banjir baru-baru ini adalah Balai Rantau Panjang, Bakong, Jeram Perdah, Simpangan dan Kuala Jambu.
“Selain itu, kita juga akan membantu kira-kira 30 keluarga anggota polis apabila rumah mereka turut terjejas dalam kejadian banjir.
“Kita akan lihat bantuan yang diperlukan dan mereka akan dibantu melalui tabung kebajikan polis,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Pasca Banjir Dan Penyampaian Sumbangan Mangsa Banjir di Sekolah Menengah Arab Kajang Sebidang, Kuala Jambu di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki memberitahu, polis menerima sebanyak 1,278 laporan yang telah dibuat oleh mangsa banjir membabitkan pelbagai laporan termasuk kerosakan rumah, tanaman dan sebagainya.
Menurutnya, polis akan mengumpul laporan kerosakan yang dialami mangsa sebelum menyerahkannya kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE