PETALING JAYA – Northport (Malaysia) Bhd. (Northport) telah menandatangani perjanjian kerjasama strategik dengan Sea Hawk Lines Shipping LLC (Sea Hawk) untuk membangunkan perniagaan pukal cecair konvensional di Northport.
Melalui perjanjian itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dan berkongsi pengalaman, kepakaran, keupayaan teknikal, sumber dan pengetahuan masing-masing bagi menjadikan Northport sebagai hab pengedaran serantau untuk pelanggan pukal cecair Sea Hawk di rantau ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, kerjasama ini adalah satu langkah ke hadapan dalam usaha Kumpulan mengembangkan perniagaan pukal cecair yang menjadi penyumbang kedua tertinggi kepada jumlah keseluruhan kendalian kargo konvensional pada 2021.
“Sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan Northport sejak lima tahun lalu, kami telah mewujudkan kawasan dan menambah kemudahan baharu untuk pengendalian kargo konvensional,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena majlis perjanjian antara dua Kumpulan yang mana Northport diwakili oleh Azman, manakala Pengarah Sea Hawk, Mani Krishnan mewakili Sea Hawk.
Majlis tersebut disaksikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin, Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Datuk Mohd. Tarid Sufian pada program Minggu Selangor di Expo 2020 Dubai baru-baru ini.
Pada tahun lalu, Northport merekodkan 9,661,283 FWT (Freight Weight Tonnes) kendalian kargo, iaitu prestasi kedua tertinggi untuk kendalian kargo konvensional sejak penubuhan Northport melalui penggabungan Klang Container Terminal (KCT) dan Klang Port Management (KPM) pada tahun 2000.
Perniagaan pukal cecair menyumbang 2,939,149 FWT atau 30.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kendalian.
Sea Hawk yang diperbadankan pada 2016 di Dubai menyediakan perkhidmatan logistik dan pergudangan bersepadu termasuk operasi perkapalan, pelepasan kastam dan pengendalian kereta terpakai serta kargo am di Dubai, UAE dan Asia Barat.
Pada masa ini, Sea Hawk beroperasi di ruang gudang seluas 240,000 kaki persegi yang dimiliki Northport.
Pada tahun lalu, Northport telah mencatatkan prestasi tertinggi untuk kendalian kontena tahunan dalam sejarahnya.
Ia selepas syarikat tersebut merekodkan sejumlah 3,324,364 TEU, meskipun berhadapan dengan dua cabaran besar, iaitu pandemik Covid-19 dan banjir pada bulan Disember tahun lepas yang menjejaskan operasi perniagaan.