fbpx

Mengubah sisa makanan menjadi baja organik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DALAM tempoh 10 hingga 12 hari, sisa makanan akan terurai dan menjadi baja.

ISU berkaitan pembuangan sisa makanan bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia.

Masalah ini berlarutan sejak sekian lama dan saban hari, pasti ada pembuangan sisa makanan di tapak pelupusan sampah.

Jika sisa buangan ini tidak diurus dengan baik, ia boleh memberi kesan kepada alam sekitar.

Dalam usaha membendung masalah itu dari terus berlarutan, Swidweb Solutions yang merupakan syarikat terbitan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor mengolah sisa makanan terbuang untuk dijadikan baja organik.

Syarikat itu bekerjasama dengan SMW Environment Sdn. Bhd. dengan mengambil inisiatif untuk mengumpul sisa makanan daripada komuniti setempat dan juga restoran berhampiran untuk tujuan tersebut.

SETIAP sisa makanan terkumpul akan diasingkan dalam satu petak khas ataupun biopond untuk diproses menjadi baja organik.

Ketua Projeknya, Prof. Madya Ir. Dr. Noor Yasmin Zainun berkata, bagi mengitar semula sisa makanan untuk dijadikan baja organik yang mesra alam, pihaknya menggunakan teknik Black Soldier Fly Larva (BSFL).

Menurutnya, BSFL atau dikenali sebagai lalat askar hitam adalah spesies serangga yang pada awalnya diakui sebagai sumber protein alternatif untuk makanan haiwan.

“Kajian menunjukkan, ia dapat membantu dalam proses penguraian sisa makanan untuk menghasilkan baja organik berkualiti bagi kegunaan bercucuk tanam.

“Penggunaan BSFL untuk proses penguraian sisa makanan dan menjadikannya baja organik adalah kaedah paling selamat dan mesra alam,” jelasnya yang juga merupakan pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, UTHM.

Tambahnya, proses penghasilan baja kaedah BSFL ini sangat membantu untuk kelestarian alam sekitar dan boleh mengurangkan pencemaran dari sisa buangan makanan.

Dalam pada itu, Dr. Noor Yasmin berkata, bagi menghasilkan baja organik, sisa makanan terkumpul diasing dalam satu petak khas (biopond).

Setiap petak khas mengandungi 100 kilogram (kg) sisa makanan.

DR. NOOR YASMIN menunjukkan baja organik yang siap dibungkus.

“Kita letak BSFL seberat 2kg dalam petak itu bagi membolehkan larva lalat memakan sisa makanan.

“Dalam tempoh 10 hingga 12 hari, sisa makanan itu habis terurai dan menjadi baja. Baja organik yang terhasil itu dikenali sebagai frass adalah najis daripada larva tersebut,” jelasnya.

Tambahnya, daripada jumlah 100kg sisa makanan diproses, hanya 10kg baja organik terhasil.

Baja yang terhasil itu boleh digunakan untuk bercucuk tanam, manakala larva lalat boleh dijadikan makanan ternakan.

Selain itu, proses menghasilkan baja organik itu tidak menyebabkan pencemaran bau kerana ia kering.

Kata Dr. Noor Yasmin, projek baja organik itu dimulakan sejak awal 2021.

Pada mulanya, sisa makanan untuk projek itu akan dikutip di kafe-kafe yang ada di UTHM.

Disebabkan pandemik Covid-19, kafe tidak lagi beroperasi kerana pelajar melakukan pembelajaran secara online di rumah.

“Bagi mengatasi masalah itu, kami bekerjasama dengan SMW Environment Sdn. Bhd. untuk mengutip sisa makanan daripada penduduk di dua kawasan perumahan berdekatan,” jelasnya.

Pada tahun lalu, 100 peserta menyertai program pengumpulan sisa dan berjaya mengumpul 15,000kg sisa makanan.

Katanya, permintaan terhadap baja organik amat baik, hingga bekalan tidak mencukupi.

“Kami tidak dapat mengeluarkan baja organik dalam jumlah banyak kerana kekurangan bekalan sisa makanan dan faktor lain.

“Bagi mengatasinya, kami sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam menghasilkan baja organik tersebut,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI