LONDON – Bintang sensasi Manchester United, Marcus Rashford berada dalam senarai Paris Saint-Germain (PSG) sebagai calon untuk menggantikan Kylian Mbappe, sekali gus menyaksikan The Red Devils berdepan perpindahan beramai-ramai penyerang dari Old Trafford musim panas ini.
Masa depan Rashford semakin tidak menentu memandangkan kontraknya menghampiri tahun terakhir, manakala Cristiano Ronaldo, Edinson Cavani dan Anthony Martial turut mempertimbangkan untuk berhijrah keluar.
Rashford yang juga penyerang antarabangsa England mempunyai baki 18 bulan dalam kontraknya dan dia dikatakan sedang memikirkan masa depannya menjelang jendela perpindahan nanti.
Sumber dalam kelab menegaskan, Rashford belum membuat sebarang keputusan dan fokus untuk mendapatkan semula prestasi terbaik untuk merebut semula tempat dalam kesebelasan utama di Old Trafford.
Bagaimanapun, produk akademi United itu masih belum pasti menandatangani perjanjian baharu dengan The Red Devils terdesak untuk kehilangan penyerang itu secara percuma.
Masalahnya adalah Rashford tidak diturunkan dalam kesebelasan utama Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak menentang Southampton pada 12 Februari lalu.
United akan melantik pengurus baharu pada musim depan dan sebarang keputusan Rashford untuk masa depannya bakal bergantung kepada pengganti Ralf Rangnick.
Pengurus PSG, Mauricio Pochettino yang disebut-sebut sebagai calon utama untuk mengisi jawatan itu merupakan peminat besar kepada Rashford. – AGENSI