fbpx

Lima sebab bahasa Melayu mudah dipelajari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAN BYUL dan Naydenov antara contoh orang asing yang mudah menguasai bahasa Melayu dengan cepat.

Beberapa minggu lalu, ramai yang terkejut apabila artis Korea, Han Byul menyampaikan komen hampir sepenuhnya dalam bahasa Melayu di meja juri BigStage walaupun baru kira-kira tiga tahun memasuki industri muzik tanah air. Beberapa hari lalu pula ramai yang terpegun apabila seorang Penolong Duta Besar Rusia ke Malaysia, Pavel Naydenov berbahasa Melayu sepenuhnya untuk menjelaskan krisis Rusia-Ukraine.

Terdahulu, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tular seorang remaja di Amerika Syarikat (AS), Trent Josiah Huizar mampu kuasai bahasa Melayu hanya dalam tempoh 14 hari! Barangkali ada yang anggap hal begini biasa-biasa sahaja. Tetapi, persoalannya, berapa ramai antara kita yang belajar bahasa Inggeris atau Arab dari kecil sampai dewasa tetapi tidak fasih-fasih?

Itulah magisnya bahasa Melayu. Hasil tinjauan penulis di internet dan YouTube memang banyak pihak menyifatkan bahasa Melayu sebagai antara bahasa paling mudah di dunia bahkan ada yang meletakkannya di kedudukan No.1 bahasa paling mudah di Asia seperti portal esl-languages.com dan thelanguagedoctors.org.

“Mengapa bahasa ini paling mudah berbanding bahasa lain? Ini kerana bahasa Melayu tiada perubahan perkataan mengikut bilangan (plurals), jantina dan lebih menarik tidak ada tatabahasa waktu perbuatan (tenses)!,” kata thelanguagedoctors.org.

Bukti lain ialah ungkapan kata bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew sendiri pada tahun 1965 yang berbunyi: “Di Singapura, empat bahasa – Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris ialah bahasa rasmi dan setara. Bahasa Melayu ialah bahasa lazim dan Bahasa Kebangsaan kita. Ia adalah bahasa yang paling mudah untuk semua komuniti pelajari.”- Sumber Arkib Negara Singapura nas.gov.my

Ini rumusan penulis tentang faktor-faktor bahasa Melayu mudah dipelajari.

Pertama, bukti sejarah. Hakikat bahawa bahasa indah ini pernah menjadi lingua franca dipertuturkan secara meluas pada kurun ke 16 hingga 17 menunjukkan ia bahasa yang terbukti mampu dikuasai ramai.

Sarjana Belanda, Francois Valentijn pernah berkata: “Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan sahaja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu dan di sebelah timurnya sehingga Kepulauan Filipina.”

Kedua, tatabahasa yang ringkas. Bahasa Melayu tidak memerlukan seseorang itu untuk mengingat perubahan kata. Misalnya, perkataan ‘makan’ akan tetap menjadi makan tidak kira jantina, bilangan atau masa dilakukan. Makan tidak akan berubah menjadi makans, makaned, makaning, makanta, makanti, makana, makano, makanka, makankap seperti bahasa Inggeris, Arab, Sepanyol atau Thailand.

Ketiga, ton nada. Perkataan bahasa Melayu tidak berubah maksud kalau disebut dengan nada panjang, pendek, menaik atau menurun, tidak seperti bahasa Cina, Vietnam dan Thailand. Sebagai contoh, perkataan ‘ma’ dalam bahasa Cina boleh berubah maksud ibu atau kuda hanya dengan mengubah cara sebutannya. Jadi, bertutur bahasa Melayu tidaklah begitu menggusarkan ketika menyebut sesuatu perkataan jika hendak dibandingkan dengan belajar bertutur bahasa lain.

Keempat, fonetik merujuk bagaimana dieja begitulah disebut. Bahasa Melayu tidak seperti sesetengah bahasa lain yang ejaannya tidak sama dengan sebutan misalnya banyak perkataan dalam bahasa Inggeris.

Kelima, tulisan rumi. Realiti bahawa kebanyakan orang di dunia sudah kenal abjad bahasa Inggeris juga menjadikan pembelajaran bahasa Melayu yang menggunakan tulisan sama cepat ‘mesra’ berbanding tulisan Jepun, Korea, Thailand, Rusia dan sekian banyak bahasa lain.

Justeru, penulis yakin hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN boleh direalisasikan. Perkara itu dinyatakan beliau pada sidang media dalam lawatan rasminya di Thailand baru-baru ini.

Marilah kita kembalikan kegemilangan bahasa Melayu kerana bahasa ini memang ‘bukan bishe-bishe’. Orang paling malang sebenarnya ialah orang yang tinggal di bumi Malaysia tetapi tidak tahu berbahasa Melayu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI