fbpx

Lelaki tinggal teman wanita bersama barang curi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERETA Naza Forte yang ditinggalkan suspek bersama teman wanita dan barang curi di Kampung Bahagia, Teluk Intan hari ini.-IHSAN PDRM

TELUK INTAN – Seorang lelaki diburu dipercayai meninggalkan teman wanitanya bersama beberapa barang termasuk kambing biri-biri disyaki dicuri dalam sebuah kereta di Kampung Bahagia di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kenderaan jenis Naza Forte dipandu lelaki terbabit sebelum itu ditemui di kawasan parkir di Anson Industri, Jalan Kampung Banjar pada pukul 1.05 pagi.

Katanya, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang terserempak kereta mencurigakan itu lalu dihampiri, namun lelaki itu terus memecut laju memandu ke arah Sungai Manik dan lolos.

“Anggota meneruskan rondaan dan menjumpai kereta tersebut ditinggalkan dalam keadaan pintu terbuka di Kampung Bahagia.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu menjumpai sejumlah tebu, sebuah rangka motorsikal, pemotong gergaji rantai dan dua ekor biri-biri yang berada dalam but kereta berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pada masa sama, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang perempuan bersama anaknya berada di luar beranda rumahnya di Kampung Bahagia Teluk Intan dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil soal siasat mendapati kedua-dua mereka adalah individu sama yang menaiki kenderaan bersama rakan lelakinya yang dikenali sebagai ‘Kemae’.

“Tangkapan telah dijalankan terhadap wanita tersebut selepas memaklumkan kesemua rampasan dalam kereta terbabit adalah milik suspek manakala anak lelakinya diserah semula kepada suaminya sendiri.

“Hasil siasatan mendapati suspek lelaki terbabit merupakan penagih dadah yang dikenali wanita itu sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Ahmad Adnan berkata, semakan mendapati kereta terbabit tidak pernah terlibat dengan mana-mana rekod kenderaan curi.

“Kereta tersebut dipinjam oleh Kemae dengan kawannya. Wanita terbabit direman selama tiga hari sehingga Jumaat untuk siasatan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Ujian urin mendapati dia positif dadah jenis methamphetamin dan usaha mengesan Kemae sedang giat dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI