LONDON – Seorang lelaki dari Britain memelihara 120 ekor labah-labah jenis tarantula yang diletakkan di dalam sebuah bilik tidur di rumahnya sebagai salah satu cara untuk mengatasi masalah kesihatan mental yang dia alami, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Aaron Phoenix, 34, membela haiwan berbisa itu selepas seorang pakar terapi mengarahkannya untuk memiliki hobi yang boleh membuatkannya gembira.
Disebabkan itu, sejak musim panas tahun lepas, Phoenix telah mengumpulkan 120 ekor tarantula bersama-sama lima ekor labah-labah lain, tiga ekor kala jengking, tiga ekor belalang dan seekor lipan.
Kesemua haiwan itu ditempatkan di dalam kurungan berlainan di dalam bilik tidur di rumahnya. Dia menghabiskan banyak masa di bilik tersebut.
“Saya akan memeriksa keadaan haiwan-haiwan itu setiap pagi dan malam. Apabila mempunyai banyak masa, saya boleh memerhatikan haiwan-haiwan itu selama berjam-jam.
“Saya amat terpesona dengan kesemua haiwan tersebut kerana ia mempunyai pelbagai bentuk dan warna,” kata Phoenix.
Tambah Phoenix, dia dapat mengatasi masalah kesihatan mental yang dialaminya selepas memelihara haiwan-haiwan itu kerana bilik tersebut menjadi ‘tempat gembira’ buatnya.
“Doktor memberitahu bahawa hobi boleh membuatkan minda saya menjadi fokus. Sememangnya ia benar kerana haiwan-haiwan itu amat mempesonakan,” ujarnya.
Phoenix sebelum ini disahkan menghidap gangguan bipolar serta kemurungan. – AGENSI