fbpx

JKKP Perak siasat kejadian runtuhan kuari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TAKLIMAT Ops Runtuhan Batu Kuari (OMYA) oleh Timbalan Komander Operasi, Aidil Adli kepada Pengarah JKKP, Supian Alias di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Keramat Pulai, Jalan Cameron Highlands- Simpang Pulai, Ipoh hari ini.

IPOH – Siasatan menyeluruh dilakukan susulan kes dua pekerja kuari dipercayai tertimbus runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Supian Alias berkata, pihaknya telah mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan berkaitan kejadian itu.

Bagaimanapun katanya, siasatan akan dilakukan setelah operasi mencari dan menyelamat selesai.

“Siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti sebarang pelanggaran perundangan dan elemen lain yang menjadi punca kepada kemalangan itu.

“Tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, pihak jabatan memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam.

Katanya, majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab dalam mengenal pasti bahaya, membuat penilaian dan kawalan risiko yang berkesan.

“Kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko komprehensif mengikut Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” katanya.

Dalam kejadian pukul 9.15 pagi semalam, dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI